Wednesday, January 26, 2011

Fatwa Politik 1.


Mengeluarkan fatwa yang berkaitan hukum agama hanya semudah mengorek hidung bagi sesetengah pemimpin PAS. 

Mereka boleh mengeluarkan fatwa pada bila-bila masa yang mereka suka. Apa kesan atau implikasinya langsung tidak difikirkan.

Baru-baru ini Datuk Seri Nizar Nizar Jamaluddin mengeluarkan fatwa terbaru yang mengatakan haram syarie hukumnya umat Islam jika mengundi UMNO. 

Punca fatwa tersebut dikeluarkan oleh 'ulamak' PAS yang juga bekas Menteri Besar Perak tersebut sudah pasti kerana pilihanraya kecil DUN Tenang (N5, Johor) yang akan berlangsung pada 30 Januari ini.

Inilah yang dikatakan fatwa politik. Tujuannya hanya untuk menakut-nakutkan pengundi beragama Islam di DUN Tenang. Mengundi calon beragama Islam yang datang daripada sebuah parti yang memartabatkan Islam dijatuhkan hulum haram syarie. 

Tidak cukup dengan itu, dikatakan pula bahawa mengundi calon BN sama seperti menempah tiket ke neraka.

Sebenarnya ramai dikalangan penyokong-penyokong PAS sendiri yang tidak bersetuju dengan 'fatwa' yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Nizar itu. Bukan kerana fatwa tersebut mengelirukan. Tapi disebabkan mereka mengalami kesukaran untuk memberi penjelasan kepada para pengundi apabila ditanya apa pula hukumnya kalau mengundi calon PKR dan DAP bukan Islam ditempat-tempat lain yang PAS tidak bertanding?

Percayalah, jika PKR atau DAP yang bertanding di DUN Tenang dan bukannya calon dari PAS, sudah pasti fatwa gila seperti ini tidak akan dikeluarkan. Mereka akan bertungkus lumus pula mencipta fatwa lain yang sesuai dengan keadaan. Tidak mustahil jika yang halal boleh menjadi haram dan yang haram boleh menjadi halal.

PAS sememangnya semenjak dahulu suka mengeluarkan fatwa hanya untuk kepentingan dan keuntungan politik. Dahulu mereka pernah mengeluarkan fatwa bahawa UMNO menjadi kafir kerana berkerjasama dengan parti-parti kafir seperti MIC dan MCA. “Sesiapa yang reda dengan kufur maka dia menjadi kufur..” (Kuliah Di Marang 1983). Tapi kini, mereka sendiri bekerjasama dengan DAP. Kafirkah PAS? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana fatwa tersebut dicipta khas dan 'valid' hanya untuk UMNO.

PAS juga pernah mengeluarkan fatwa yang menyatakan haram orang Islam memangkah calon yang kafir. Ini kerana Allah mengharamkan melantik orang kafir menjadi pemimpin. Tapi kini apabila sudah tidur sebantal dengan DAP dan PKR, cepat-cepat fatwa tersebut mereka buangkan kedalam tong sampah. Bagaimana mereka begitu mudah menciptanya, begitu jugalah mudahnya mereka membuangnya.

Dulu mereka pernah menyatakan bahawa kerajaan BN adalah kerajaan mungkar kerana membiarkan kilang-kilang arak dan kelab-kelab malam beroperasi. Tapi tidak pula mereka mengatakan kerajaan mereka juga adalah mungkar apabila bersubahat membiarkan arak dijual merata-rata selain rumah urut dan pusat hiburan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah sendiri dalam satu sidang DUN mengakui bahawa gejala pelacuran, homoseksual dan punk wujud di Kelantan. 

Terkini, kerajaan negeri Kelantan sudah berkira-kira untuk meluluskan beberapa lagi lesen menjual arak pula. Mungkarkah kerajaan mereka? Jawapannya sudah tentu tidak kerana yang mungkar hanyalah kerajaan UMNO/BN, sedangkan kerajaan mereka adalah suci sesuci-sucinya.

Sikap PAS yang suka mengeluarkan fatwa sesuka hati ini telah diikuti pula oleh pemimpin DAP. 

Lim Guan Eng baru-baru ini dalam ceramahnya di DUN Tenang telah mengeluarkan pula fatwa yang menyatakan bahawa pengundi-pengundi beragama Islam akan mendapat pahala jika mengundi calon PAS. 

Siapa Lim Guan Eng untuk menentukan urusan pahala dan dosa orang Islam? 

Amat menyedihkan apabila pemimpin-pemimpin PAS yang hadir dalam ceramah tersebut hanya mampu berdiam diri tanpa menegur sedikitpun sikap Lim Guan Eng. Nampak sangat mereka amat takut kepada pemimpin DAP tersebut.

Insaflah wahai PAS...insaflah wahai Datuk Seri Nizar. Janganlah kamu sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum itu haram dan ini haram hanya demi untuk memenuhi nafsu untuk berkuasa. 

Janganlah dijual dan dilelong kesucian agama Islam semurah itu hanya demi untuk mendapatkan sedikit keuntungan politik.



No comments: